10 Jun 2026 (Rabu) – Program Taklimat Isu-isu Semasa, Taklimat Kempen Internet Selamat Dan Sesi Debat Interaktif Japen Kota Bharu Bersama Komuniti @NADI merupakan satu aktiviti yang dianjurkan untuk menggalakkan peserta, khususnya golongan belia dan komuniti setempat mengasah kemahiran komunikasi, pemikiran kritis serta kebolehan berhujah secara berhemah. Program ini menyediakan platform kepada peserta untuk membincangkan isu-isu semasa melalui sesi perbahasan yang interaktif dan berinformasi.
Melalui program ini, peserta didedahkan kepada teknik penyampaian hujah yang berkesan, kemahiran mendengar pandangan berbeza, serta budaya perbincangan yang sihat. Selain meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi, program ini turut memupuk semangat kerjasama, kepimpinan dan keterbukaan dalam menerima pelbagai perspektif. Sesi debat interaktif ini juga turut membincangkan isu-isu semasa seperti kenaikan harga barangan keperluan, kenaikan mendadak harga Diesel di Semenanjung Malaysia, keberkesanan penyelarasan Subsidi Petrol dan penguatkuasaan, penambahan dana BUDI Madani Agri-Komoditi untuk Sektor Pertanian dan juga isu Warga Rohingya / Pakistan dan Kad UNHCR.
Pihak NADI juga turut melaksanakan Kempen Internet Selamat pada hari ini bagi memberi penekanan terhadap penggunaan ciri kawalan ibu bapa sebagai usaha memperkasa keselamatan digital dalam kalangan keluarga. Program itu memfokuskan kepada pemerkasaan literasi digital komuniti, khususnya dalam aspek perlindungan keluarga dan pencegahan jenayah siber. Pihak NADI turut memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan kesedaran dan kemahiran ibu bapa dalam menetapkan kawalan pada peranti anak-anak bagi memastikan penggunaan Internet yang lebih selamat dan terkawal. Kempen ini sejajar dengan hala tuju strategik pada 2026, di mana Kempen ini turut memberi fokus kepada libat urus komuniti akar umbi serta warga emas dalam usaha membendung ancaman penipuan kewangan dalam talian.
Secara keseluruhannya, Debat Interaktif ini berjaya menjadi medium pembelajaran yang menarik dalam membentuk masyarakat yang lebih berilmu, berfikiran kritis dan mampu menyuarakan pendapat secara matang serta bertanggungjawab.


