13 Jun 2026 (Sabtu) – Reruai Kempen Internet Selamat 2026 telah menjadi salah satu tarikan utama sempena Program Masjid Unity: Nurturing Faith, Festival Kelestarian Islam yang berlangsung di Perkarangan Masjid Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian. Program ini diadakan dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang dengan penglibatan pelbagai pihak dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan penggunaan internet.
Sepanjang program, reruai yang dikendalikan oleh MCMC dengan sokongan NADI menerima kunjungan seramai 30 orang pengunjung. Selain itu, sebanyak 11 orang telah mendaftar sebagai Wira Internet Selamat, satu inisiatif yang bertujuan melahirkan komuniti celik digital dan bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi.
Penglibatan petugas daripada NADI Kampung Padang Kala dan NADI Kampung Panjang Banggu turut menyerlahkan komitmen komuniti setempat dalam menjayakan agenda keselamatan siber. Kehadiran mereka bukan sahaja membantu melancarkan aktiviti reruai, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi dan masyarakat.
Kempen ini diharap dapat memberi kesedaran berterusan kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga privasi, mengelakkan penipuan dalam talian, serta membina budaya penggunaan internet yang sihat dan selamat.


