30 April 2026 (Khamis) – Reruai Kempen Internet Selamat 2026 oleh MCMC dengan kerjasama NADI telah mendapat sambutan menggalakkan sempena Program MATTA Fair Kelantan yang berlangsung di Ruang Legar Mydin Mall, Tunjung, Kota Bharu.
Program yang dijalankan dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang ini berjaya menarik perhatian masyarakat setempat dengan kehadiran dianggarkan seramai 120 orang pengunjung ke reruai MCMC & NADI.
Kempen ini memberi fokus kepada kesedaran penggunaan internet secara selamat, bijak dan bertanggungjawab. Para pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai keselamatan digital, perlindungan data peribadi serta langkah-langkah mengelakkan ancaman siber.
Selain itu, reruai ini turut menekankan peranan NADI sebagai hab komuniti yang aktif dalam menyokong agenda literasi digital dan pembangunan belia. Kehadiran pengunjung yang ramai membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan internet semakin meningkat.
Pihak MCMC dan NADI berharap kempen ini dapat diteruskan sebagai usaha berterusan untuk melahirkan masyarakat celik digital, sekali gus memperkukuh keselamatan siber di peringkat komuniti.


