6 November 2025 – Program Jelajah KIS Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu) telah diadakan dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan Perol, melibatkan penyertaan 27 buah sekolah sekitar Kota Bharu Selatan. Hari ini merupakan hari kedua bagi program jelajah KIS ini.
Program anjuran bersama PPD Kota Bharu dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini telah menghimpunkan seramai 270 orang murid dan 54 orang guru pengiring dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penggunaan internet secara bijak dan berhemah.
Bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan termasuk sesi ceramah utama oleh pihak MCMC yang menekankan aspek keselamatan siber, etika komunikasi digital, serta tanggungjawab pengguna dalam dunia maya. Ceramah ini turut disertai dengan sesi interaktif yang menggalakkan pelajar memahami isu-isu semasa berkaitan media sosial dan keselamatan dalam talian.
Selain itu, turut diadakan pameran interaktif dan kaunter saringan kesihatan percuma oleh NADI, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta dan guru. Inisiatif ini memberi peluang kepada peserta bukan sahaja menambah ilmu tentang keselamatan digital, tetapi juga menjaga kesihatan fizikal secara menyeluruh.
Majlis penutup program telah berlangsung dengan penuh meriah dan telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan). Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak MCMC, PPD Kota Bharu, dan SK Perol atas usaha murni menjayakan program yang menyokong pembangunan sahsiah serta literasi digital murid sekolah.
Penganjuran Jelajah KIS Peringkat PPD Kota Bharu ini diharap dapat memperkukuh kesedaran dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga sekolah agar menjadi pengguna internet yang beretika, berhemah, dan berilmu seiring dengan kemajuan teknologi masa kini.


