5 November 2025 – Program Jelajah Kempen Internet Selamat atau Jelajah KIS Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu telah berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan Perol pada hari ini. Program anjuran bersama PPD Kota Bharu dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu berjaya menarik penyertaan seramai 230 orang murid daripada 23 buah sekolah sekitar Kota Bharu Selatan, diiringi oleh 46 orang guru pengiring.
Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid tentang kepentingan penggunaan internet secara berhemah serta mendidik mereka menjadi pengguna media digital yang bijak dan bertanggungjawab.
Sepanjang program, para peserta diberi peluang mengikuti sesi ceramah interaktif yang disampaikan oleh wakil MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ceramah tersebut menekankan aspek keselamatan siber, etika dalam penggunaan media sosial serta bahaya penyebaran maklumat palsu. Pihak NADI juga turut serta di dalam program ini dengan menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan percuma kepada semua pengunjung yang hadir ke program. Antara NADI yang terlibat pada sesi kali ini adalah NADI Kampung Padang Kala, NADI Salor & NADI Kampung Pantai Sabak.
Menurut wakil MCMC, program seperti ini penting untuk mendidik golongan muda agar lebih peka terhadap ancaman keselamatan siber serta mengamalkan sikap berhati-hati ketika berinteraksi di alam maya. Sementara itu, pegawai PDRM turut menekankan kepentingan mematuhi undang-undang dalam penggunaan media sosial serta tanggungjawab pengguna internet terhadap keselamatan diri dan masyarakat.
Program ini diakhiri dengan sesi soal jawab dan kuiz interaktif yang berjaya mencetuskan semangat dan minat pelajar terhadap penggunaan teknologi secara positif.
Penganjuran Jelajah KIS Peringkat PPD Kota Bharu ini diharap dapat memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan sekolah dalam membentuk generasi celik digital yang beretika serta mampu menghadapi cabaran dunia maya masa kini.


