24 Mei 2025 – Seramai 13 orang peserta dalam kalangan komuniti MADANI sekitar Kampung Padang Kala telah menyertai Program Mini Penerangan & Kelas Editing Video yang berlangsung di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Padang Kala, hari ini. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memperkasa kemahiran digital komuniti MADANI.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang ini merupakan inisiatif kerjasama antara Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), NADI Kampung Padang Kala dan NADI Bandar Satelit Pasir Tumboh. Tujuan utama penganjuran adalah untuk memperkasakan masyarakat dengan kemahiran asas penyuntingan video, selari dengan usaha memperluas literasi digital dalam kalangan komuniti setempat.
Sepanjang sesi, peserta didedahkan dengan teknik asas suntingan video seperti memotong dan menyusun klip, menambah teks, muzik latar dan kesan visual menggunakan aplikasi mudah alih yang mesra pengguna. Latihan praktikal turut diberikan bagi memastikan peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari secara terus.
Turut hadir menjayakan program ini ialah wakil daripada Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) iaitu Encik Zam, Puan Wan Shahilawati, Puan Siti Mariam dan Encik Riduan yang turut memberikan sokongan dan dorongan kepada para peserta sepanjang program berlangsung.
Menurut salah seorang peserta, kelas ini memberi peluang kepada mereka untuk belajar kemahiran baharu yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan, termasuk penghasilan kandungan media sosial dan dokumentasi aktiviti komuniti.
Program seumpama ini diharap dapat dilaksanakan secara berterusan sebagai medium pembangunan kemahiran digital yang menyeluruh, sejajar dengan aspirasi negara ke arah masyarakat celik teknologi di bawah konsep Malaysia MADANI.



