12 April 2025 – Tapak Pasar Malam Cabang Haji Kassim, Kampung Padang Seterpa meriah dengan kehadiran penduduk setempat sempena Program Jualan Rahmah Madani yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang.
Program anjuran bersama tiga Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) iaitu NADI Bandar Satelit Pasir Tumboh, NADI Kampung Padang Kala dan NADI Kampung Pantai Sabak ini bukan sahaja menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, malah turut menyelitkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung.
Antara aktiviti yang mencuri perhatian ialah saringan kesihatan percuma yang disediakan kepada orang ramai sebagai inisiatif memupuk kesedaran tentang penjagaan kesihatan. Selain itu, NADI juga menganjurkan kuiz interaktif dan hebahan maklumat berkaitan perkhidmatan pintar serta fungsi-fungsi yang ditawarkan oleh NADI kepada komuniti setempat.
Program seperti ini bukan sahaja meringankan beban pengguna melalui penawaran harga rahmah, malah turut memberi pendedahan kepada masyarakat tentang manfaat digital yang boleh dimanfaatkan melalui NADI. Kehadiran penduduk pelbagai lapisan usia membuktikan sambutan positif terhadap inisiatif berimpak tinggi seperti ini.


