NADI Kampung Padang Kala, 8 April 2025 – Seramai 548 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar 2 telah menyertai Program Celik DELIMa dan Taklimat NADI Shield yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi. Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara empat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) iaitu NADI Bandar Satelit Pasir Tumboh, NADI Kampung Padang Kala, NADI Kampung Pantai Sabak dan NADI Salor.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap isu keselamatan siber menerusi Taklimat NADI Shield, di samping memberi pendedahan tentang penggunaan platform pembelajaran digital DELIMa secara selamat dan efektif.
Menariknya, turut diselitkan dalam program ini ialah sesi saringan kesihatan percuma sebagai usaha meningkatkan tahap kesedaran guru tentang kepentingan penjagaan kesihatan diri. Dalam masa yang sama, pelajar juga didedahkan dengan panduan pendaftaran eKelas menggunakan akaun DELIMa masing-masing, sekali gus menggalakkan penggunaan platform pembelajaran dalam talian eKelas secara optimum.
Penganjuran program seperti ini diharap dapat memperkasakan pelajar dari segi literasi digital, keselamatan dalam talian serta penjagaan kesihatan yang holistik seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.
