11 Jun 2025, merupakan hari kedua program Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP) ini, para peserta diperkenalkan dengan pelbagai aplikasi kreatif digital yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian, pekerjaan dan perniagaan. Antara topik yang diajar ialah penggunaan teknologi terkini seperti ChatGPT, Canva, Bing Image Creator, Face Swap dan Vidnoz.
Peserta diajar asas penggunaan ChatGPT untuk membantu menjana idea penulisan, membuat ayat promosi, surat rasmi dan sebagainya. Bagi aplikasi Canva, peserta mempelajari cara menghasilkan poster digital menggunakan templat yang disediakan, mengubah suai teks, imej dan elemen grafik mengikut kreativiti masing-masing.
Seterusnya, peserta diperkenalkan kepada Bing Image Creator yang membolehkan mereka menghasilkan imej melalui arahan teks (text-to-image). Mereka juga diperkenalkan kepada aplikasi Face Swap untuk tujuan suntingan imej kreatif serta Vidnoz iaitu platform menjana video dari teks (text-to-video).
Kesemua aplikasi ini diperkenalkan melalui sesi demonstrasi secara langsung oleh fasilitator, diikuti dengan latihan amali yang melibatkan peranti masing-masing. Peserta juga diberikan masa untuk mencuba sendiri dan menghasilkan bahan kreatif mengikut kefahaman.
Program ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat maklum balas positif daripada peserta yang menyifatkan ia sangat berguna, menarik dan memberi pendedahan baru dalam dunia teknologi dan kandungan digital masa kini.
Melalui pendedahan ini, peserta diharapkan dapat memanfaatkan teknologi digital dalam urusan harian dan berupaya mencipta kandungan sendiri menggunakan platform moden yang semakin popular. Program ini juga telah berjaya menambahkan minat dan keyakinan peserta dalam meneroka teknologi terkini dengan lebih yakin dan kreatif.
