19 Oktober 2026 (Isnin) – Kempen Internet Selamat @SK Raja Abdullah telah berjaya dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara NADI Kampung Padang Kala, NADI Bandar Satelit Pasir Tumboh dan Unit HEM Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Abdullah. Sepanjang program berlangsung, seramai 292 orang murid dan 34 orang guru telah didedahkan dengan tiga (3) pelajaran mengikut modul yang telah disediakan oleh pihak MCMC. Antara Modul yang dipelajari mereka adalah kenapa perlu had umur untuk menggunakan media sosial. Pelajaran yang kedua adalah kesan penggunaan media sosial kepada kanak-kanak dan pelajaran ketiga pula alternatif media sosial. Mereka juga turut sama memahami kepentingan mengakses dan menerima sumber maklumat yang sahih dan tepat.
Program ini dilaksanakan dengan objektif utama untuk mewujudkan persekitaran yang selamat kepada para murid dan guru dalam era globalisasi semasa dan peningkatan penggunaan AI sekarang. Taklimat ini juga dapat memberi dan membina kesedaran dikalangan murid-murid SK Raja Abdullah berkaitan kandungan bahaya yang ada di dalam dunia maya. Seterusnya, dengan tercapainya objektif kempen ini, mereka dapat memupuk nilai saling menghormati antara mereka dengan orang disekeliling dengan mengelakkan gejala buli siber dikalangan murid. Akhir sekali, pihak NADI juga dapat memperkukuhkan hubungan kerjasama antara NADI, pihak sekolah dan pentadbir serta para murid.
Secara keseluruhannya, Kempen Internet Selamat@SK Raja Abdullah yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi ini berjaya mencapai objektif Program Pembudayaan Generasi Madani: Karnival KITA SK Raja Abdullah di mana ia dapat membentuk nilai tanggungjawab digital dalam kalangan murid dan guru. Kini, mereka lebih bersedia untuk memastikan diri mereka dapat menggunakan internet secara selamat, berdisiplin, dan menghormati orang lain, di samping bijak mengimbangi masa dengan aktiviti fizikal yang lebih bermanfaat.


