3 Ogos 2025, Ahad – Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama NADI Kluster Kota Bharu telah diadakan di SK Long Gafar yang bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 10.30 pagi. Program KIS ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada murid mengenai penggunaan internet secara selamat dan beretika. Sesi kali ini menyasarkan murid Tahun 6 (Tahap 2), dengan tumpuan utama kepada pemahaman had umur penggunaan media sosial, kesedaran terhadap bahaya dalam talian, serta galakan terhadap penglibatan dalam aktiviti alternatif yang lebih sesuai dengan usia mereka.
Seramai 64 orang murid Tahun 6 telah menyertai program ini yang menggunakan Rancangan Sesi Pengajaran (RSP) khusus untuk murid sekolah rendah berumur 10 hingga 12 tahun. Aktiviti-aktiviti modul dijalankan secara berkumpulan dengan dibimbing oleh enam (6) orang fasilitator. Murid-murid dibahagikan kepada lima kumpulan dan mengikuti sesi secara bergilir bermula dengan aktiviti penetapan minda (Pecah Ruyung), diikuti dengan Pelajaran 1: Stesen Literasi Digital, Pelajaran 2: Stesen Had Umur Penggunaan Media Sosial, Pelajaran 3 dan 4: Stesen Bahaya Media Sosial 1 & 2, serta Pelajaran 5: Alternatif Kepada Media Sosial.
Program ini berjaya mencapai matlamatnya dengan memperkukuh pengetahuan asas tentang keselamatan internet dalam kalangan murid, menyedarkan mereka tentang had umur yang sesuai untuk menggunakan media sosial, serta memberi gambaran jelas mengenai risiko penggunaan internet yang tidak dikawal. Murid juga didedahkan kepada pilihan aktiviti yang lebih sihat dan bersesuaian dengan usia mereka.


