PUSAT SEBARAN MAKLUMAT NASIONAL (NADI)

Dikendalikan oleh

maxis

SERVIS PERKHIDMATAN PINTAR NADI @ HARI TERBUKA KOPERASI SMK KUBANG KERIAN 2

1 Ogos 2026 (Sabtu) – Program Hari Terbuka Koperasi SMK Kubang Kerian 2 telah berlangsung dengan penuh meriah selama dua hari berturut-turut iaitu pada 31 Julai 2026 hingga 1 Ogos 2026. Program bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Acara ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 150 orang pengunjung yang singgah di ruang pameran NADI.

Reruai NADI menjadi tumpuan apabila menyediakan pelbagai servis perkhidmatan pintar kepada masyarakat, antaranya:

  • Saringan Kesihatan Asas secara percuma
  • Taklimat ringkas mengenai servis NADI dan Kempen Internet Selamat
  • Kuiz Interaktif berkaitan NADI serta Kempen Internet Selamat
  • Pendaftaran Ahli NADI

Bagi memastikan kelancaran program, seramai 8 orang staf NADI telah bertugas secara bergilir sepanjang dua hari tersebut. Antara NADI yang terlibat ialah NADI Bandar Satelit Pasir Tumboh, NADI Kampung Panjang Banggu, NADI Kampung Pantai Sabak dan NADI Kampung Padang Kala.

Selain pameran NADI, pihak sekolah turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik yang menambah seri acara, termasuk Pertandingan Mobile Legend, tayangan cerita ala panggung, gerai makanan pelbagai juadah, Kedai Buku SMO, Pameran dan pertunjukan oleh Bomba & Penyelamat Kubang Kerian, Mini zoo, Pameran ular oleh JPAM, serta reruai daripada agensi kerajaan dan swasta.

Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali lebih dekat perkhidmatan pintar NADI, malah turut memperkukuh hubungan komuniti dengan pihak sekolah serta agensi-agensi yang terlibat. Kejayaan penganjuran ini membuktikan komitmen NADI dalam memperluas capaian perkhidmatan pintar kepada masyarakat setempat, seiring dengan usaha meningkatkan kesedaran digital dan kesejahteraan komuniti.

Berita Berkaitan