3 September 2025, Rabu – Taklimat Ringkas Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama NADI Kampung Padang Kala dan NADI Bandar Satelit Pasir Tumboh telah diadakan di SK Gong Dermin, Kota Bharu yang bermula pada pukul 11.00 pagi hingga 1.00 petang. Program KIS ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada murid mengenai penggunaan internet secara selamat dan beretika. Sesi kali ini menyasarkan murid Tahun 6 (Tahap 2), dengan tumpuan utama kepada pemahaman had umur penggunaan media sosial, kesedaran terhadap bahaya dalam talian, serta galakan terhadap penglibatan dalam aktiviti alternatif yang lebih sesuai dengan usia mereka.
Seramai 70 orang murid Tahun 6 telah menyertai program ini dengan penggunaan Modul Ringkas Tahap 2 yang terbahagi kepada 3 pelajaran:
* Pelajaran 1: Had umur 13 tahun di platform media
* Pelajaran 2: Bahaya media sosial dan kesan negatif terhadap kanak-kanak
* Pelajaran 3: Aktiviti alternatif dalam talian yang lebih selamat
Program ini berjaya mencapai matlamatnya dengan memperkukuh pengetahuan asas tentang keselamatan internet dalam kalangan murid, menyedarkan mereka tentang had umur yang sesuai untuk menggunakan media sosial, serta memberi gambaran jelas mengenai risiko penggunaan internet yang tidak dikawal. Murid juga didedahkan kepada pilihan aktiviti yang lebih sihat dan bersesuaian dengan usia mereka.


